Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Isnin, 17 Oktober 2022 - Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-28 (ATM ke-28) dan Mesyuarat-Mesyuarat Bersama Rakan-Rakan Dialog 16 – 17 Oktober 2022 di Bali, Indonesia

​1. Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-28 (ATM ke-28) dan Mesyuarat-Mesyuarat Bersama Rakan-Rakan Dialog yang diadakan pada 16 hingga 17 Oktober 2022 di Bali, Indonesia.


2. Mesyuarat ATM ke-28 telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Budi Karya Sumadi, Menteri Pengangkutan Republik Indonesia.  Dalam Ucapan Pembukaannya, Tuan Yang Terutama Budi Karya Sumadi menekankan peranan sektor pengangkutan masih memainkan peranan penting bagi mencapai Visi ASEAN kearah masyarakat yang mantap dan inklusif serta yang bersepadu dengan ekonomi global.  Tuan Yang Terutama seterusnya menyentuh bahawa walaupun proses pemulihan penuh sektor pengangkutan merupakan cabaran berterusan selepas wabak COVID-19, projek-projek serta inisiatif yang dicapai semasa Mesyuarat-Mesyuarat ATM kali ini menunjukkan komitmen berterusan Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan kearah pemulihan sektor pengangkutan yang mampan.  Mesyuarat ATM ke-28 dan Mesyuarat-Mesyuarat Bersama Rakan-Rakan Dialog seterusnya dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Budi Karya Sumadi, Menteri Pengangkutan, Indonesia selaku Pengerusi Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN pada tahun 2022.

3. Semasa Mesyuarat ATM ke-28 ini, Mesyuarat bersetuju untuk memuktamadkan dan mensahkan dua (2) dokumen utama, iaitu: (i) ASEAN Agreement on Aeronautical and Maritime Search and Rescue Cooperation (Perjanjian ASEAN SAR); dan (ii) ASEAN-European Union Comprehensive Air Transport Agreement (Perjanjian AE-CATA).  Kedua-dua Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat ATM ke-28 di Bali, Indonesia.

4. Perjanjian ASEAN SAR ini akan membangunkan serta mempertingkatkan kerjasama di dalam bidang Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue) khususnya berkaitan udara dan maritim diantara Negara-Negara Ahli ASEAN.  Kerjasama tersebut antaralainnya termasuk berkongsi dan bertukar-tukar maklumat dan pengalaman serta menjalankan latihan bersama (joint exercises) serta pembangunan sumber manusia dalam bidang Mencari dan Menyelamat.  Manakala Perjanjian AE-CATA, sebagai perjanjian perkhidmatan udara “bloc-to-bloc” yang pertama diantara ASEAN dan Kesatuan Eropah, akan meningkatkan hubungan udara diantara kedua-dua rantau serta mempertingkatkan peluang kearah pemulihan setelah wabak COVID-19.

5. Mesyuarat tersebut telah mensahkan dokumen-dokumen berikut, iaitu berkaitan dengan trend global terkini dalam pembangunan yang mampan dan berdayatahan serta pendigitalan: -

(i) The Annual Priorities/Key Deliverables in Transport for 2023, termasuk cadangan-cadangan dasar bagi mempertingkatkan infrastruktur dan stesyen pengecas kenderaan elektrik dan juga mempertimbangkan rangka kerja ASEAN Sustainable Aviation Action Plan (ASAAP);
(ii) The ASEAN Guidelines on Airport Environment Management System (EMS);
(iii) The Guiding Principles for the Regulation of Application-based Mobility Services for Passenger Transport in ASEAN; and
(iv) The Implementation Framework to Enhance Container Circulation in ASEAN.

6. Mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk menubuhkan satu ASEAN Senior Transport Officials Meeting (STOM) Task Force on Sustainable Transport yang akan meneliti dan mempertimbangkan isu-isu serta inisiatif-inisiatif baru antaralainnya di dalam bidang sustainable development, decarbonisation dan pendigitalan sektor pengangkutan.  STOM Task Force ini juga akan merebiu dokumen dasar utama iaitu Kuala Lumpur Transport Strategic Plan (KLTSP) 2016-2025 dan seterusnya merangka dokumen strategi baru yang akan menggantikan KLTSP ini untuk perlaksanaan menjelang tahun 2025.

7. Mesyuarat ATM ke-28 diikuti dengan Mesyuarat-Mesyuarat bersama Rakan-Rakan Dialog Pengangkutan ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi membincangkan inisiatif-inisiatif kearah mengembangmajukan kerjasama pengangkutan termasuk mensahkan rangka kerja-rangka kerja utama masing-masing.

8. Mesyuarat ATM ke-28 ini didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN kali ke-54 (STOM ke-54) dan Mesyuarat bersama Rakan-Rakan Dialog yang diadakan pada 14 hingga 15 Oktober 2022.  Delegasi Negara Brunei Darussalam ke STOM ke-54 diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.  Mesyuarat STOM ke-54 telah membincangkan dokumen-dokumen untuk dihadapkan kepada Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN, dan juga mengenai status program, aktiviti dan projek dibawah rangka kerja Kuala Lumpur Transport Strategic Plan (KLTSP) 2016-2025.

9. Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) merupakan platform tahunan di mana Menteri-Menteri Pengangkutan dari negara-negara ahli ASEAN berkumpul untuk berbincang dan memutuskan untuk meneruskan kerjasama pengangkutan dalam ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog khususnya mengenai kemajuan kerjasama pengangkutan termasuk projek-projek dan inisiatif-inisiatif dalam meningkatkan lagi kesalinghubungan dan mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap, selamat dan mampan untuk menyokong integrase ekonomi di rantau ASEAN.



Disediakan oleh:
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 
Negara Brunei Darussalam



Attachments