Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Rabu, 27 Rabiulawal 1440H bersamaan 05 Disember 2018M - Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah Dan Membaca Ratib Al-Attas Senegara sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas Sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018 telah diadakan senegara iaitu di ke-empat daerah pada petang ini. Di Daerah Brunei Muara, Majlis diadakan di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.

Majlis ini merupakan kesinambungan Aktiviti Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018 yang mana telah dilancarkan pada 01 December 2018 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR).

Tujuan utama Majlis ini diadakan adalah untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata 'ala supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini. Disamping itu juga, ia merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya dalam meningkatkan keselamatan jalan raya demi kebajikan dan keselamatan semua.

Hadir di Daerah Brunei Muara ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong, Pemangku Menteri Perhubungan; Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, selaku Timbalan Pengerusi II MKKJR; Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri selaku Ahli MKKJR dan Yang Mulia Dr Haji Supry bin Haji Ag. Ladi, Timbalan Setiausaha Tetap selaku Setiausaha MKKJR. Majlis juga turut dihadiri oleh Ahli-Ahli MKKJR, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Perhubungan serta Jabatan-Jabatan dan Pihak-pihak Berkuasa di bawahnya.

 

Majlis yang sama juga turut diadakan di Daerah Belait, bertempat di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Penghulu Mukim Liang. Sementara itu, bagi Daerah Tutong dihadiri oleh Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, Pegawai Daerah Tutong dan telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Manakala bagi Daerah Temburong telah diadakan di Masjid Utama Mohamamad Salleh, Pekan Bangar, dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, Penghulu Mukim Bokok dan Mohammad Khairol Shahrul bin Haji Duahim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong.

 


Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya dengan sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhati-hati, berdisiplin dan bertimbang rasa, serta memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas jalan raya demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Awam

KEMENTERIAN PERHUBUNGAN


Attachments