Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 01 November 2018M - Lawatan Kerja Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Ke Maritime And Port Authority Of Brunei Darussalam

Rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara telah mengadakan lawatan kerja ke Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD) di Muara pada pagi tadi.

Tujuan lawatan kerja Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara ke MPABD adalah untuk meninjau secara dekat mengenai dengan pasarana dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikawal-selia oleh pihak MPABD. Lawatan kerja ini juga untuk memberikan pendekatan ke atas isu-isu dan projek-projek sektor pengangkutan laut di Negara Brunei Darussalam secara langsung kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara sebagai persediaan bagi Sesi Muzakarah Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan Kementerian Perhubungan yang akan diadakan pada 26 November 2018 nanti.

Lawatan kerja dimulakan di Feri Terminal Penumpang dan Kenderaan yang terletak di Serasa, Muara. Semasa berada di Feri Terminal tersebut, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah diterangkan dengan lebih lanjut mengenai dengan proses perkhidmatan dan pengendalian yang dijalankan di Feri Terminal Penumpang dan Kenderaan laluan Serasa-Labuan yang mengendalikan secara purata seramai 128,046 penumpang dan 1,000 kenderaan setahun. Penerangan tersebut merangkumi tatacara kerja-kerja yang dikendalikan termasuk proses pemeriksaan para penumpang, kenderaan dan pelepasan pelabuhan.

Seterusnya, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telahpun melawat Stesyen Isyarat Radio Pantai Muara. Stesyen Isyarat ini yang mula beroperasi semenjak tahun 1982 berfungsi untuk mengawal keselamatan kapal-kapal yang masuk dan keluar dari Terusan Muara menuju ke Pelabuhan Muara dan jeti-jeti persendirian. Menurut perangkaan pihak MPABD, secara purata sebanyak 11,314 pergerakan kapal yang masuk dan keluar melalui terusan Muara setahun dan jumlah ini dijangka akan meningkat dalam jangka masa dua (2) tahun apabila loji penapisan dan petrokemikal di Pulau Muara Besar mula beroperasi. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga berkesempatan untuk melihat cara-cara pengendalian perhubungan diantara pihak MPABD dengan kapal-kapal yang melalui Terusan Muara.

Rombongan kemudian beredar ke Pelabuhan Muara untuk melawat ke Pusat Kapal Persiaran, Terminal Konvensional Muara dan Terminal Kontena Muara yang telah diurus-tadbir oleh Syarikat Muara Port Company (MPC) Sdn. Bhd. sejak 2hb Julai 2018. Setakat ini Syarikat MPC Sdn. Bhd. mempunyai tenaga kerja seramai 158 orang yang terdiri daripada 141 orang anak tempatan dan  17 orang tenaga asing.

Pelabuhan Muara merupakan pelabuhan utama bagi Negara Brunei Darussalam yang mengendalikan impot dan ekspot kargo melalui kontainer dan kargo pukal. Disamping itu, Pelabuhan Muara juga berperanan untuk mengendalikan kapal kenderaan (ro-ro) dan kapal persiaran. Menurut perangkaan pihak MPC Sdn. Bhd., sebanyak 78,573 teus (kontainer) telah dikendalikan sepanjang Januari sehingga September 2017 dan sebanyak 84,197 teus (kontainer) telah dikendalikan sepanjang Januari 2018 sehingga September 2018 yangmana telah menunjukkan peningkatan sebanyak 7.16%.

Attachments