Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Penandatanganan Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Turki

  1. Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Republik Turki telah ditandatangani di Istanbul, Republik Turki pada 28 Oktober 2018.

  2. Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Perhubungan, Negara Brunei Darussalam. Manakala menandatangani bagi pihak Kerajaan Republik Turki adalah Tuan Yang Terutama Mehmet Cahit Turhan, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Republik Turki.

  3. Penandatanganan itu disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Mohammad Shafiee bin Haji Kassim, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki serta pegawai-pegawai dari Kementerian Perhubungan Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki dan Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur, Republik Turki.

4. Penandatanganan perjanjian ini merupakan satu pencapaian di dalam perhubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Turki. Ianya akan menambahbaik kesalinghubungan udara serta membuka peluang- peluang kerjasama di antara syarikat-syarikat penerbangan yang ditetapkan dan destinasi di antara kedua buah negara. Sebelum perjanjian perkhidmatan udara ini ditandatangani, kedua buah negara telah terlebih dahulu memeterai satu Memorandum Persefahaman semasa menghadiri ICAO Air Services Negotiations (ICAN), di Antalya, Republik Turki pada tahun 2015.

 5. Sebelum Majlis Penandatanganan tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Perhubungan telah mengadakan satu mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu Tuan Yang Terutama Mehmet Cahit Turhan, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur, Republik Turki. Turut hadir

 dalam mesyuarat ini adalah Tuan Yang Terutama Mohammad Shafiee bin Haji Kassim, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki serta pegawai- pegawai kanan dari Kementerian Perhubungan, Kedutaan Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki. Manakala Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turki turut disertai oleh Dr Omar Fatih Sayan, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Republik Turki.

  6. Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri berbincang mengenai peluang- peluang untuk mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang pengangkutan dan perhubungan serta turut bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam sektor penerbangan awam, maritim dan info-komunikasi.

 7. Yang Berhormat Menteri Perhubungan juga akan menghadiri majlis pembukaan rasmi Istanbul New Airport yang akan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, Presiden Republik Turki pada 29 Oktober 2018.

8. Lapangan Terbang baru ini akan berupaya untuk menghubungkan 300 destinasi seluruh dunia dan mampu menampung pergerakkan sehingga 200 juta orang penumpang setahun. Pembukaan Lapangan Terbang baru ini bertepatan dengan dengan sambutan Hari Republik yang ke-95 bagi Republik Turki.


Dikeluarkan:

Kementerian Perhubungan

29 Oktober 2018

Attachments